KIMCHI KUBIS CINA (NAPA CABBAGE KIMCHI/ TONGBAECHU KIMCHI)

KIMCHI KUBIS CINA (NAPA CABBAGE KIMCHI/ TONGBAECHU KIMCHI)


Kimchi adalah makanan tradisional Korea, salah satu jenis sayur masin hasil pemerapan yang dibuat dengan mencuci sayuran yang sudah digaram dan memerap dengan bahan-bahan seperti udang kering, sos ikan, bawang putih, halia dan serbuk cili merah.

Sayuran yang biasa digunakan untuk dibuat kimchi adalah sawi putih dan lobak. Pada zaman dulu, kimchi dipanggil sebagai chim-chae yang bermaksud "sayuran yang direndam."

Di Korea, kimchi selalu dihidangkan pada waktu makan dengan hampir semua masakan. Kimchi juga digunakan sebagai ramuan sewaktu memasak sup kimchi jjigae, nasi goreng kimchi (kimchi bokkeumbap) dan pelbagai masakan lain.

Kimchi terdiri dari ratusan jenis dengan ciri khas aroma yang keras, tajam, dan menyengat. 

(Sumber Wikipedia)


Saya pernah juga mencuba memakan kimchi jika ke restoran Korea sebagai hidangan sampingan. Biasanya kimchi berperanan sebagai penyedap rasa kepada sesuatu hidangan. 


Walaupun kimchi adalah sesuatu yang sangat asing bagi saya, namun ia tidak banyak beza dengan sayuran jeruk seperti sawi asin yang biasanya dimasukkan ke dalam asam pedas Johor. 


Sudah lama ingin mencuba membuat kimchi, namun bahan-bahan yang digunakan tidak ada di rumah ketika itu. Kali ni, saya melihat video cara membuat kimchi di media sosial dan tanpa berlengah terus mencuba kerana kebanyakan bahannya mudah dicari.


Bahan A:

1 biji - Kubis cina putih (napa cabbage)
3 Sudu makan - Garam halus
3 Sudu makan  - Gula pasir

Cara:
- Basuh bersih kubis, lalu dipotong kecil 
- Gaulkan kubis dengan garam dan gula
- Biarkan selama 4 jam. Kubis akan mengeluarkan air
- Basuh kubis tersebut, toskan dan perah air.

Bahan B:

2 cawan - daun bawang - dipotong kecil
2 cawan - lobak merah - dipotong seperti mancis/ sagat kasar

Bahan C:

100 gm- Bawang putih (15 ulas)
20 gm - Halia (seruas)
2 sudu makan - Udang kering
1/2 cawan - serbuk cili
1/4 cawan - kicap
1/2 cawan - gula pasir
1/4 cawan - sos ikan
1/3 cawan air

Cara:
- Kisar semua bahan C (kecuali serbuk cili) sehingga halus.
- Tuangkan bahan kisar ke dalam bekas besar, gaulkan dengan serbuk cili.
- Kemudian masukkan kubis, lobak dan daun bawang. Gaul sebati.
- Biarkan di dalam suhu bilik selama 1 hari supaya berlaku penapaian.
- Selepas 1 hari, masukkan ke dalam peti sejuk bahagian dingin je.
- Boleh tahan sebulan di dalam peti sejuk.


Tips:
Serbuk cili Korea (kochukaru) ialah bahan yang sepatutnya digunakan dalam menyediakan kimchi, tetapi boleh je guna serbuk cili biasa yang ada di pasaran Malaysia. 

Proses penapaian akan terus berlaku dan akan menyebabkan kimchi bertambah masam. Semakin lama disimpan, semakin masam dan semakin berbau.

Boleh nikmati selepas sehari dibuat atau jika tak sabar, boleh je terus dimakan sejurus selepas digaul kubis tu. 

Comments