Pokok Chicha |
Anak pokok chicha |
Bunga Chicha bertaburan di atas rumput |
Berbentuk corong |
Kelopak bunga berambut halus |
Bunga yang telah dibasuh dan dibersihkan |
Bunga Chicha... Nama yang sangat asing di telinga orang Johor dan hampir seluruh rakyat negara ini. Namun, ia dikenali di bahagian utara tanahair terutamanya di Kedah dan menjadi sebahagian ramuan kuih lepat liat sesetengah penduduk di sana. Bunga yang hampir dilupakan ini menjadi buah mulut akibat tular di media sosial baru-baru ini. Saya memang tertarik membaca tentang bunga ini, namun kecewa kerana dikhabarkan bahawa bunga ini hanya terdapat di utara sahaja. Tapi rezeki tuhan tiada siapa yang menduga, saya terpandang taburan bunga berwarna merah jambu dari kejauhan berdekatan dengan kaki Bukit Soga. Oleh kerana sifat ingin tahu yang tinggi, saya mendekati pokok yang besar seperti pokok getah tua itu. Saya membelek bunga-bunga itu dan merujuk gambar-gambar di internet. Ternyata, inilah bunga chicha yang saya teringin sangat untuk melihatnya. Dengan rasa kesyukuran, seperti mendapat emas layaknya, saya mengutip bunga chicha. Bunga segenggam ditekup ke muka, bau harum seperti bunga mawar, tetapi tidak begitu kuat, segar dan nyaman.
Niat di hati nak membuat kuih lepat liat, tapi kerana tiada daun pisang, maka diolah resepi menjadi kuih talam pulut sahaja. Adunan yang sama, boleh juga digunakan untuk membuat lepat liat. Kuih talam ni mempunyai rasa yang ringan sahaja seakan-akan dodol gula melaka. Kuih bunga chicha tidak mempunyai bau dan rasa yang kuat, cuma fungsi bunga ini lebih kepada memberikan warna perang kepada kuih ini. Pada pandangan saya, bunga ini mudah teroksida oleh udara dan menjadi warna keperangan jika direnyukkan ataupun layu. Itulah sebabnya warna kuih ini menjadi warna yang sebegitu rupa. Sama seperti daun inai, yang menjadi kemerahan jika ditumbuk halus. Haruman bunga chicha yang wangi hilang akibat dimasak, namun menerbitkan bau yang unik dan menyelerakan. Penggunaan santan pekat menambah lemak kepada kuih ini. Saya tidak mencampur bahan lain seperti gula melaka atau pandan, kecuali gula sahaja kerana mahukan rasa asli bunga chicha ini.
Bunga ini seeloknya dikutip pada waktu pagi kerana mudah layu dan lebam jika terkena panas. Bunga chicha boleh juga dikeringkan untuk disimpan lebih lama. Hanya perlu dikisar halus dan dicampur kepada adunan sehingga mencapai warna keperangan yang dikehendaki.
Saya kongsi maklumat berkenaan bunga chicha yang saya peroleh dari bacaan (www.chm.frim.gov.my). Bunga chicha juga dipanggil cahcah, chechar atau lumpoyang. Dalam Bahasa Inggeris disebut Snake Tree kerana bentuk buahnya yang panjang berlingkar seperti ular. Lokasi pokok ini berasal dari Indochina, Thailand, Myanmar dan Semenanjung Malaysia. Habitat di kawasan hutan tanah rendah kurang 1000m. Biasanya pokok ini boleh mencapai ketinggian 27m dan diameter batang 150cm. Batang pokok berwarna kelabu, tinggi menegak dengan bahagian bawah sedikit membesar. Dalam setangkai daun mengandungi berbilang helaian sebanyak 4-6 yang berbentuk bujur. Bunga berbentuk corong, bermembran, mempunyai rerambut halus dihujungnya dan bahagian dalam yang licin. Terdapat laporan menyatakan terdapat 2 jenis pokok yang menghasilkan bunga berwarna putih dan merah jambu cair. Bunga berbau wangi yang tidak begitu kuat seperti haruman bunga mawar. Hujung kelopak bunga yang berambut (fimbriae) inilah yang mencetuskan nama latin bunga chicha iaitu Stereospermum fimbriatum.
TALAM PULUT BUNGA CHICHA (CICA)
Bahan:
Bunga Chicha segar- segenggam
Tepung pulut - 250 gm
Gula - 130 gm
Santan pekat - 1 cawan
Garam - 1/2 sudu teh
Cara:
1. Kisar gula, santan dan bunga chicha sehingga halus
2. Tuang ke dalam bekas, campurkan tepung pulut dan garam, Kacau sebati
3. Tuang adunan ke loyang 8 inci yang telah disapu minyak.
4. Kukus selama 45 min
5. Biarkan sejuk, potong dan gaulkan dengan kelapa parut bergaram
Comments
Post a Comment