KUIH EMPLEK GULUNG (KETAYAP/DADAR/ TERUNA MALANG/ GULUNG)

KUIH EMPLEK GULUNG (KETAYAP/DADAR/ TERUNA MALANG/ GULUNG)



Kuih emplek gulung bermaksud kuih lempeng gulung dalam Bahasa Jawa. Memang inilah nama kuih yang saya kenali sejak kecil. Kemudian apabila menginjak dewasa, barulah mengetahui pelbagai nama untuk kuih yang sama seperti kuih ketayap, kuih dadar dan kuih teruna malang.

Semasa saya kecil, emak selalunya akan membuat kuih untuk dibawa ke surau pada hari Khamis malam Jumaat. Kuih akan disediakan mengikut giliran keluarga dalam kariah surau. Kuih muih ini akan dihidangkan selepas solat isyak pada malam tersebut setiap minggu. Biasanya bacaan Surah Yaasin dan tahlil dibaca beramai-ramai dengan disudahi dengan jamuan kecil-kecilan bersama jemaah surau yang hadir. 

Selain itu, pada bulan Ramadhan juga, setiap keluarga akan membawa hidangan ringkas seperti kuih muih atau buah buahan untuk dihidangkan selepas solat terawih. Dalam giliran yang telah ditetapkan, ada 2 atau 3 buah keluarga yang akan membawa juadah tersebut. Kemeriahan yang dapat dirasai walaupun serba sederhana.



Bahan A - Inti Kelapa :
1 biji - kelapa parut
1 cawan - Gula merah / Gula Melaka
2 sudu makan - Gula pasir
1 sudu teh - Garam

Bahan B - Kulit Kuih :
4 cawan - Tepung gandum
2 biji - Telur Gred B
1 sudu kecil - Garam
5 cawan - Air
4 helai - Daun pandan


Cara A - Inti Kelapa:

1. Gula merah/ gula Melaka dimasak dengan sedikit air sehingga cair. Tapis airnya.

2. Campurkan  kelapa parut dengan air gula merah di dalam periuk

3. Tambahkan lagi air biasa sehingga separas kelapa tersebut.

4. Kemudian tambahkan gula pasir dan garam

5. Masak lebih kurang 15 minit sehingga kelapa hampir kering. Kacau selalu

6. Rasa dulu inti kelapa, jika kurang gula dan garam, tambah lagi ikut citarasa.

7. Angkat dan sejukkan inti


Cara B - Kulit kuih:

1. Kisar daun pandan dengan air. Tapis airnya

2. Sukat 5 cawan air pandan.

3. Campurkan dengan tepung, telur dan sedikit garam

4. Gaul sebati adunan.

5. Tapis adunan untuk mengelakkan tepung bergentel.


Cara - Membuat Kuih:

1. Gunakan kuali tanpa melekat. 

2. Sapukan sedikit minyak di dalam kuali. Panaskan dengan api kecil.

3. Masukkan 1 senduk adunan kulit.

4. Ratakan adunan dengan nipis

5. Biarkan dalam 1 minit, lapisan kulit akan berubah warna dengan sekata.

6. Terus angkat menggunakan sudip dan diletakkan di atas pinggan/ talam.

7. Letak sedikit inti di atas kulit, gulungkan


Tips:

Saya menggunakan sukatan cawan kopi

Gulung kuih semasa masih panas supaya tidak pecah

Tidak perlu membalikkan kulit semasa memasak. Hanya perlu masak di satu bahagian sahaja.

Comments