AYAM BAYAM

AYAM BAYAM



Resepi ayam bayam ini adalah cetusan idea sendiri 10 tahun lalu. Saya amat menggemari sayur bayam dan terfikir untuk menggabungkan sayuran ini dalam masakan saya. Saya mengolah resepi ini sendiri dan hasilnya tidak mengecewakan. 

Selepas 10 tahun, saya ingin mencuba semula masakan ayam bayam ini dan hasil carian di laman maya, saya agak terkejut memang ada masakan ini di India yang dinamakan chicken palak (ayam bayam). Namun olahan ayam bayam gaya India lebih berempah berbanding resepi saya.


Bahan A:
1 ekor - Ayam (Potong sederhana besar)
Serbuk kunyit
Garam
Minyak masak

Bahan B:
3 biji - Bawang besar
5 biji - Bawang putih
1 inci - Halia
15 biji - Cili padi
2 genggam - bayam
2 sudu makan - Biji ketumbar
1 sudu makan - Jintan putih
1 sudu makan - Jintan manis
Rempah tumis - Kayu manis, Bunga lawang, Buah pelaga
2 sudu makan - Gula pasir
1 sudu teh - Garam
Serbuk perasa - secukup rasa
Minyak masak



Cara - A :

1.Gaulkan ayam dengan garam dan kunyit.

2. Goreng ayam sehingga kekuningan. Pastikan ayam tidak digoreng terlalu lama untuk mengelakkan kering.


Cara - B:

1. Sangai biji ketumbar, jintan manis dan jintan putih sehingga wangi. Kemudian kisar halus. Ketepikan.

2. Kisar bayam dengan air sehingga hancur. Ketepikan

3. Kisar halus bawang besar, bawang putih, cili padi dan halia. Kemudian tumis dengan sedikit minyak sehingga kekuningan. Masukkan rempah tumis 3 sekawan. Tumis sehingga wangi.

4. Kemudian, masukkan bayam, ketumbar dan jintan tadi. 

5. Masukkan ayam goreng. 

6. Tambahkan sedikit garam, gula dan serbuk perasa.

7. Biarkan mereneh dengan api sederhana.

8. Masak sehingga kuah hampir kering dan naik minyak. 


Tips:

Letakkan sedikit garam dan gula kerana apabila kuah semakin pekat dan hampir kering, rasanya semakin kuat.

Tambahkan garam, gula dan perasa di saat akhir untuk mengelakkan berlebihan. 

Boleh ditambah kacang pis, hirisan bawang besar atau cili hijau.

Comments