AYAM BAWANG (NASI KANDAR)

 AYAM BAWANG (NASI KANDAR)



Ayam bawang ialah menu popular yang menjadi pilihan ramai ketika menikmati nasi kandar. Nasi kandar ialah hidangan yang sangat sedap yang berasal dari Pulau Pinang. Pada zaman dahulu, nasi dengan lauk pauk berasaskan kari akan dijual oleh penjual dengan kandar (menggantung kayu di bahu).

Pada masa kini, konsep nasi berlauk ini telah dipraktikkan dengan meluas di negeri Utara Semenanjung dengan membuka restoran yang selesa dan besar. Ramai pelancong tidak melepaskan peluang untuk menikmati nasi kandar apabila berkunjung ke Pulau Pinang. 

Saya mencuba resepi ayam bawang ini hasil dari inspirasi nasi kandar yang dinikmati pada percutian di Pulau Pinang pada akhir tahun 2021. 


Bahan A:
1 ekor - Ayam (Potong sederhana besar)
Serbuk kunyit
Garam
Minyak masak

Bahan B:
5 biji - Bawang besar (hiris nipis)
4 tangkai - Daun kari
2 sudu makan - Serbuk cili
2 sudu makan - Gula
1 sudu teh - Garam
Serbuk perasa - secukup rasa
Minyak masak



Cara - A :

1. Gaulkan ayam dengan serbuk kunyit dan garam

2. Goreng ayam sehingga kekuningan. Pastikan ayam tidak digoreng terlalu lama untuk mengelakkan kering.


Cara - B:

1.Tumiskan anggaran 4 biji bawang besar. Tinggalkan sebiji bawang untuk dimasukkan pada saat akhir nanti.

2. Masak bawang sehingga kuning keperangan 

3. Masukkan daun kari. Masak hingga wangi

4. Kemudian masukkan serbuk cili. Kacau rata.

5. Masukkan 2 cawan air. Tambahkan sedikit garam, gula dan serbuk perasa.

6. Masukkkan ayam goreng tadi.

7. Tambahkan air separas ayam. Biarkan mereneh dengan api sederhana.

8. Masak sehingga kuah hampir kering dan naik minyak. Masukkan lebihan hirisan bawang. Biarkan seketika sehingga bawang layu. Bolehlah diangkat. 


Tips:

Resepi ini sangat ringkas dan mudah disediakan, namun mempunyai rasa yang lazat.

Jika kita mencari resepi di internet, pelbagai resepi yang akan diperoleh. Terpulang kepada kita untuk mencuba mana satu resepi yang menepati selera masing-masing.

Comments