KERABU SAYUR (KERAWU) - CARA JAWA

KERABU SAYUR (KERAWU) - CARA JAWA

Kerabu yang telah siap digaul dengan rencah kelapa parut


Rencah kerabu dengan sayur-sayuran


Pelbagai jenis kerabu dapat dinikmati di negara kita, ada yang masam, manis, berkacang mahu pun ada yang menggunakan kelapa parut. Kerabu ialah sejenis hidangan salad orang Melayu yang boleh dikategorikan dalam kelompok makanan sihat. Penggunaan banyak jenis sayuran dan bahan lain yang lazat menambahkan nilai nutrisi dalam masakan ini.

Kerabu sayur yang ingin saya kongsi ini ialah resepi Orang Jawa turun temurun yang telah diwarisi dari nenek saya kepada emak saya. Kami menyebutnya sebagai 'kerawu'. Ada juga orang memanggil masakan ini dengan nama 'urap' atau 'kuluban'. Kuluban membawa maksud 'makanan yang dicelur' daripada perkataan kulub (celur).


Bahan tumbuk/ kisar:
4 biji - Bawang merah
3 ulas - Bawang putih
10 biji - Cili padi
1/2 cawan - ikan bilis

Bahan sayuran:
Pucuk ubi - 2 genggam
Tauge - semangkuk
Kacang panjang - 5 batang
Tempe - 2 keping
Tauhu - 2 keping

Bahan lain:
Kelapa parut - 1/2 biji kelapa
Minyak masak
Garam - secukup rasa
Ajinomoto (serbuk perasa) - jika suka
1 ulas kencur / cekur - tumbuk kasar

Cara:
1. Potong kecil pucuk ubi dan kacang panjang, bersihkan tauge, kemudian celur sehingga masak

2. Tempe dan tauhu dipotong dadu, kemudian goreng sehingga kekuningan

3. Tumis bahan kisar sehingga wangi dan kekuningan. Kemudian masukkan kelapa parut. Gaul sebati sehingga kelapa berwap dan hampir kering. Jangan terlalu lama masak.

4. Tambahkan sedikit garam dan ajinomoto. Rasa sedikit rencah kerabu, pastikan masin sedikit kerana kita akan menggaulkan dengan sayuran nanti. Sebelum tutup api, gaulkan dengan kencur/ cekur. Gaul sebati, baru angkat.

5. Gaulkan rencah kelapa dengan sayuran sebelum dimakan.


Tips:
Rencah kerabu boleh disimpan sejuk beku. Gunakan bila perlu.

Boleh diperah dengan sedikit limau kasturi sebelum menghidang.

Sayuran lain yang boleh digunakan ialah kangkung, bayam, pucuk betik dan pegaga

Comments