AYAM UNGKEP

 AYAM UNGKEP


Ayam ungkep ialah masakan Orang Jawa yang menyerupai rendang. Perbezaannya ialah ayam ungkep tidak ada kerisik dan santan. Cara masak dan bahan-bahan yang digunakan adalah hampir sama. Ungkep bermaksud kaedah memasak reneh perlahan dengan menutup tudung periuk.

Masakan ini biasanya dihidangkan bersama nasi ambeng. Nasi ambeng ialah hidangan nasi berlaukkan ayam, sayur goreng, serunding kelapa, mi goreng dan ikan masin. Lauk ayam selalunya dimasak kicap, ungkep, masak merah ataupun kari. Namun masakan ungkep ini juga boleh sahaja dihidangkan sebagai lauk harian waktu makan tengahari atau bila-bila masa yang disukai.


Bahan utama:
1 ekor - Ayam - Potong kecil

Bahan tumbuk/ kisar:
5 biji - Bawang merah
3 ulas - Bawang putih
10 biji - Cili padi
3 sudu - Biji ketumbar
1 sudu - Jintan manis
1 ruas - Kunyit (Boleh diganti serbuk kunyit)


Bahan lain:
2 batang - serai - diketuk
Minyak masak
Pes asam jawa/ asam keping
Garam - secukup rasa
Gula - secukup rasa
Ajinomoto (serbuk perasa) - jika suka

Cara:
1. Tumis bahan tumbuk dengan sedikit minyak masak sehingga wangi

2. Masukkan serai, kacau lagi sehingga terbit bau

3. Masukkan ayam, kacau rata

4. Tambahkan sedikit air separas ayam

5. Kemudian, masukkan semua bahan perasa iaitu pes asam, garam, gula dan ajinomoto.
Tutupkan periuk, biarkan ayam mereneh dengan api perlahan

6. Gaul sekali sekala supaya kuah mesra.

7. Masak hingga hampir kering ataupun boleh juga jika mahu berkuah sikit. Terpulang citarasa masing-masing.

Tips:
Boleh juga dimasak tanpa menumis, iaitu masukkan semua bahan (tanpa minyak) bersama sedikit air di dalam periuk, lalu dimasak ungkep hingga kuah hampir kering

Gunakan ayam kampung atau ayam pencen supaya isi ayam tetap pejal apabila dimasak lama.

Jika menggunakan ayam daging, gunakan air yang sedikit sahaja kerana ayam cepat lembut.



Comments