CARA MEMBUAT KETUPAT PALAS

CARA MEMBUAT KETUPAT PALAS



Ketupat palas menjadi kegemaran keluarga kami. Walaupun bukan makanan tradisi orang Jawa di Johor, tapi kami amat menyukai apa sahaja juadah yang berasaskan pulut seperti kuih seri muka, kuih dangai, pulut kuning dan pulut panggang. Menu ni memang tidak pernah dibuat sebelum ini, namun menjadi kebiasaan setiap kali Hari Raya semenjak 2 tahun lalu. Abang ipar (Abang Zul) saya memang pandai membuat ketupat palas kerana asal-usulnya dari Ipoh, Perak yang sudah biasa menyediakannya semasa Lebaran.

Pada tahun 2020 lalu, kami merancang untuk membuat ketupat palas pada Hari Raya Haji. Semua ahli keluarga dapat pulang ke kampung setelah tamat tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) akibat wabak COVID-19 yang melanda awal tahun 2020. Abang ipar telah siap-siap membeli daun palas dari Selangor kerana di Batu Pahat agak sukar mencari orang menjualnya. 

Saya hanya  ingin berkongsi cara membuat ketupat ini. Mungkin ada sedikit perbezaan dengan cara orang lain, namun yang pasti tetap menjadi ketupat palas kami. Semoga memberi manfaat kepada semua.

Pokok palas. Tak sangka dapat menemui pokok palas di dalam sebuah kebun (seperti kebun lama yang tidak diusahakan) semasa melalui sebuah kampung di Parit Sulong. Kami meminta izin tuan rumah untuk mengambil pucuk palas. 


Abang Zul mengambil pucuk palas

Pucuk palas di buka lipatannya, lalu dilap menggunakan kain


1. Letakkan sekeping daun di atas tapak tangan. Pastikan permukaan daun yang berkilat di bahagian luar.

2. Lipat daun sehingga membentuk segitiga seperti ini

3. Isikan pulut yang telah ditanak, tekan menggunakan sudu

4. Tekan menggunakan sudu. Separas dengan permukaan kelongsong

5. Tekan sedikit hujung atas kelongsong supaya pulut tidak terkeluar

6. Lilit daun mengelilingi setiap muka segitiga sehingga bertemu bahagian ruang masuk di atas. Selitkan hujung daun ke bahagian dalam, lalu ditarik dengan ketat

7. Daun yang sudah diselitkan ke bahagian dalam membentuk ketupat palas segitiga

8. Ikat mati bahagian hujung daun palas. Siap!

Selepas siap proses memasukkan pulut ke dalam kelongsong daun palas, barulah boleh dikukus selama 30 minit. 


Cara menanak pulut:

Pulut perlu ditanak sebelum proses membuat ketupat palas dilakukan. Setelah pulut sejuk, barulah boleh diisi ke dalama kelongsong daun. Selain ditanak, pulut juga boleh dikukus.

Masukkan beras pulut, santan, garam, daun pandan dan hirisan halia. Jika tak suka halia, tidak perlu masukkan. Lidah saya kurang menggemari rasa halia ni. Tapi ada juga ahli keluarga yang suka. Terpulang citarasa masing-masing.

Kacau selalu supaya tidak melekat di kuali

Pulut hampir kering

Pulut yang telah ditanak separuh masak. Air telah kering, tapi bahagian dalam beras belum lembut sepenuhnya. Ini tidak menjadi masalah, kerana kita akan mengukus lagi nanti sehingga masak.



Comments