CARA MEMBUAT LONTONG DAUN PISANG

 CARA MEMBUAT LONTONG DAUN PISANG

Lontong

Raya Haji pada tahun ni, saya merancang nak membuat lontong daun pisang. Sehari sebelum Raya, mencari daun pisang di tepi jalan ke Pagoh. Di situ banyak pokok pisang hutan yang tumbuh meliar. Bukan tidak mau menanam pokok pisang keliling rumah di kampung, tapi terlalu banyak monyet yang akan merosakkan tanaman. Monyet akan mencabut anak pisang dan memakan umbutnya. Sudah bertahun-tahun tiada pokok pisang di tepi rumah. Jika dahulu, ada bermacam-macam jenis pisang ditanam seperti raja, kepok (nipah), kapas, lilin dan lain-lain lagi. Pisang paling saya suka ialah kapas, rasanya manis dan sedikit masam bila masak, enak dimakan begitu sahaja atau dibuat bahan kuih seperti lepat dan cekodok. Daun pisang kapas juga paling wangi sebagai pembungkus makanan dan kuih kukus.

Menuntut ilmu membuat lontong dengan Mbokde Ros. Kebetulan semasa datang, Mbokde Ros sedang mengangkat lontong dari periuk. Memasak di bangsal di luar rumah. Nyaman dan selesa

Mbokde Ros memang pakar membuat lontong. Dia cakap jika tak betul kaedah membuatnya, lontong akan terburai semasa direbus atau nasi tidak masak sepenuhnya.


Buat pertama kali dalam hidup, membuat lontong daun pisang. Semua ahli keluarga tak tau nak buat, cuma tau makan je. Hehehe. Maka, hari ni terpaksa menuntut ilmu dengan Mdokde Ros yang sememangnya pakar membuat lontong. Lontong buatannya lembut dan wangi, menjadi kegemaran semua orang dan terkenal dalam kalangan saudara mara. Malah ada yang menempah lontong dari Mbokde Ros. (Mbokde bermaksud makcik dalam Bahasa Jawa)

Lontong biasanya dimakan dengan kuah lodeh dan kuah kacang serta kuah soto. Harum wangi daun pisang dan pandan memang menawan selera sesiapa sahaja.


Lontong dimakan dengan kuah lodeh, sambal kacang dan rendang daging


Bahan:
Daun pisang
Beras
Daun pandan - 6 helai disimpul rapi
Garam

Cara:
1. Daun pisang dipotong dari pelepahnya. Kemudian basuh bersih dan dilap kering
2. Daun digulung membentuk kelongsong seperti silinder. Pastikan membuat 2 lapis daun pisang.
3. Ketip rapat satu hujung (bahagian daun yang tebal) menggunakan stapler.
4. Ketuk perlahan tempat yang diketip supaya lebih mencengkam
5. Masukkan beras ke dalam kelongsong sehingga hampir mencapai separuh.
6. Ketip hujung daun. Kemaskan hujung daun dengan gunting
7. Susun kelongsong lontong secara baring di dalam periuk.
8. Tuangkan air sehingga menutup semua lontong.
9. Tambahkan garam secukupnya dan daun pandan
10. Rebus selama 4 jam
11. Apabila sudah masak, angkat lontong dan disusun sendeng di dalam bekas tapis supaya air menitis
12. Potong lontong yang telah sejuk selepas 3 jam

Tips:
- Beras tidak perlu dicuci. Jika mahu dicuci, pastikan tos sehingga kering.
- Nisbah kuantiti >> 1 lontong = 3 ketupat nasi (mengikut saiz)
- Jumlah lontong yang akan dibuat bergantung kepada jumlah keluarga/ tetamu
- Bahagian daun berkilat harus berada di luar, manakala yang kusam di bahagian dalam
- Tambah air jika berkurangan semasa tempoh merebus (selepas 2 jam)



Ketip rapat bahagian bawah kelongsong. Ketuk perlahan tempat ketipan sehingga mencengkam


Isikan beras sehingga hampir separuh sahaja. Ketuk-ketuk sikit supaya beras terisi setiap ruang bawah kelongsong. Kemudian ketip hujung atas daun.


Gunting bahagian hujung daun supaya kemas


Lontong sedia direbus



Lontong yang telah masak


Lihatlah warna kehijauan daun pisang melekat di permukaan lontong. Harum berbau daun




Comments