SAMBAL KACANG (KUAH KACANG) TANPA TUMIS

SAMBAL KACANG (KUAH KACANG) TANPA TUMIS

Sambal Kacang (Kuah Kacang) tanpa tumis. 


Saya mendapat inspirasi resepi ini daripada kawan yang menjalankan perniagaan sate. Kuah kacangnya memang sedap dan secukup rasa menepati selera saya. Resepi yang tepat tidak dapat diingat kerana saya memperolehnya 10 tahun lalu. Baru sekarang nak mencuba resepi ini. 

Cara menyediakan amat mudah, hanya perlu mereneh semua bahan sehingga masak dan terbit minyak. Mereka yang ingin mengurangkan penggunaan minyak dalam diet bolehlah mencuba resepi ini. Maklumlah, sambal kacang ini biasa dihidangkan semasa perayaan yang kebanyakan menu lain tinggi kalori dan kaya lemak. Sekurang-kurangnya boleh lah mengurangkan rasa bersalah semasa menikmati hidangan. hihihi

Bahan:
Kacang tanah goreng - 1 ½  cawan - kisar halus
Cili kering kisar/ cili boh - 3 cawan
Bawang besar - 1 biji
Bawang merah - 6 biji
Bawang putih - 4 biji
Ikan bilis - 1 cawan
Halia - 1 ruas
Serai - 2 batang - dipotong kecil
Santan - 2 cawan
Pes asam jawa - 1 sudu teh
Garam - 1 sudu teh
Gula - 2 sudu makan

Cara:
- Kisar bawang besar, bawang merah, bawang putih, halia dan serai
- Kisar ikan bilis
- Masukkan semua bahan kisar ke dalam periuk, tambahkan sedikit air
- Tambahkan cili kisar, serai dan kacang tanah
- Masukkan santan dan pes asam jawa
- Reneh lebih kurang 30minit sehingga semua bau cili dan bawang telah masak
- Kemudian, tambahkan garam dan gula
- Kacau selalu sehingga minyak terbit dipermukaan sambal

Tips:
- Kacang tanah boleh digoreng atau disangai tanpa minyak
- Tahap kepekatan sambal bergantung citarasa, jika mahu lebih cair, tambahkan air
- Pes asam jawa boleh digantikan dengan asam keping
- Jika tiada santan, gunakan air biasa sahaja.
- Gunakan cawan kopi sebagai ukuran dalam resepi ini.

Comments