RENDANG DAGING CILI PADI

RENDANG DAGING CILI PADI



Rendang daging ialah lauk pelengkap kepada lontong (ketupat nasi dan kuah lodeh) yang dimakan semasa Hari Raya oleh keluarga kami. Namun rendang bukanlah makanan tradisi yang asal bagi Orang Jawa. Ia hanya diperkenalkan ke dalam keluarga kami pada tahun 1990an. Setelah anak-anak mula belajar resepi dan menu baru yang dari Orang Melayu. Sebelum ini, lauk utama yang dimasak semasa menyambut lebaran ialah kari ayam atau ayam masak kicap. Kini, rendang telah menjadi kewajipan setiap tahun. 

Pada setiap Lebaran, kami akan mencuba pelbagai resepi rendang seperti rendang tanpa tumis, rendang dengan serbuk kari, rendang cili padi, cili kering, dengan rempah dan juga tanpa rempah. Pada tahun ini, kami mencuba resepi rendang cili padi yang sangat enak.

Rendang daging menjadi pelengkap dalam hidangan lontong.
Lontong ialah hidangan gabungan nasi impit, kuah lodeh dan sambal (tumis atau kacang)



Bahan:
Daging lembu - 1 kg
Bawang merah - 6 biji
Bawang putih - 5 ulas
Cili padi - 1 genggam
Kunyit hidup - 1 ruas
Halia - 1 ruas
Serai - 3 batang - dipotong kecil
Ketumbar - 2 sudu makan
Jintan manis - 1 sudu makan
Jintan putih - 1 sudu makan
Minyak masak - 1 mangkuk
Santan pekat - 1 biji kelapa
Kerisik - ½ biji kelapa
Pes asam jawa - 1 sudu teh
Daun kunyit - 2 helai - racik halus
Garam - 1 sudu makan
Gula - 2 sudu makan
Serbuk perasa - jika mahu

Cara:
- Daging dipotong kecil. Rebus sehingga hampir lembut dengan air biasa
- Kisar halus bawang merah, bawang putih, cili padi, kunyit, halia dan serai
- Tumis bahan rencah di atas sehingga wangi dan pecah minyak
- Kemudian masukkan daging dan air rebusannya serta santan, kacau sebati
- Sangai ketumbar, jintan manis dan jintan putih sehingga wangi. Kemudian kisar halus
- Masukkan ke dalam campuran daging tadi
- Apabila kuah hampir kering, masukkan kerisik dan pes asam jawa
- Masukkan daun kunyit
- Masukkan garam, gula dan serbuk perasa secukupnya

Tips:
- Jika tidak mahu merebus dulu daging, boleh dicampur sekali selepas menumis rencah, tapi tambahkan air, kemudian masukkan santan. Masak sehingga lembut.
- Masukkan gula dan garam pada saat akhir, untuk mengelakkan penggunaan yang berlebihan

Comments