PUDING ROTI (BREAD BUTTER PUDDING)

PUDING ROTI (BREAD BUTTER PUDDING)






Pertama kali menikmati puding roti semasa bekerja di sebuah kafe di Kuala Lumpur selepas tamat pengajian di UKM pada tahun 2002. Sekali mencuba, terus jatuh cinta dengan puding ni. Walaupun hidangan yang ringkas, tapi mampu menambat selera. Sekarang kafe tu pun dah tak wujud lagi. Cravings cafe yang terletak di The Mall (kini Sunway Putra Mall) menyediakan masakan Itali dan tempatan. Saya bekerja sebagai pembuat air dan pelayan waktu tu. Walaupun cuma 9 bulan (April- Disember 2002) bekerja di sana, tetapi banyak pengalaman berharga yang diperoleh antaranya menambah ilmu berurusan dengan orang ramai dan memperbaiki penguasaan Bahasa Inggeris. Maklumlah ada pelanggan pelbagai lapisan masyarakat yang mengunjungi kafe ni. 

Nak menyediakan puding roti tidak sesukar mana, saya rasa semua orang boleh membuatnya terutama bagi mereka yang baru berjinak-jinak di dapur :)... Jika ada roti lebih yang tidak habis tu, bolehlah cuba resepi di bawah. 

Bahan:
Roti sandwich putih - 6/ 7 keping (saya guna wholemeal bread)
Susu cair - 2¼ cawan atau 350ml
Gula kastor - ¾ cawan (110 gm)
Mentega - 1 sudu makan
Telur gred A - 2 biji
Garam - ½  sudu teh
Esen vanilla - 1 sudu teh
Kismis/ kurma - rendam dalam air supaya kembang sikit

Cara:
- Carik-carik roti lalu diletakkan ke dalam loyang yang telah dioles mentega
- Campurkan susu, gula, telur, esen vanilla dan garam. Kacau sehingga gula larut
- Cairkan 1 sudu makan mentega lalu dimasukkan dalam campuran susu tadi
- Tuangkan bancuhan susu ke dalam loyang berisi roti.
- Taburkan sedikit kismis atau cebisan kurma di atas roti
- Biarkan selama 10 minit supaya susu meresap ke dalam roti. Tekan-tekan roti supaya padat
- Bakar dalam ketuhar selama 45 minit dengan suhu 170°C
- Sejukkan sedikit sebelum dipotong dan dihidangkan

Tips:
- Susu cair boleh diganti dengan susu segar sebanyak 2 ¼ cawan (350ml)
- Mentega boleh diganti marjerin
- Boleh campur ½ sudu teh serbuk kayu manis jika suka
- Saya menggunakan cawan kopi
- Gula boleh dikurangkan menjadi ½ cawan jika tidak suka terlalu manis
- Kurangkan penggunaan gula jika menggunakan roti manis
- Puding akan naik semasa dibakar, ia akan turun semula setelah dikeluarkan dari ketuhar
- Boleh juga dihidang dengan sos kastard, tapi saya lebih gemar menikmatinya tanpa sos

Comments