PECEL (PECAL SAYUR)

PECEL (PECAL SAYUR)

Pecel


Pecel ialah makanan tradisi Jawa yang sangat popular. Pecel yang saya kenal dari kecil beginilah rupa bentuknya. Lauk ringkas yang mengandungi pelbagai sayuran seperti pucuk ubi, kacang panjang, bayam, kangkung, taugeh serta bahan tambahan seperti tauhu dan tempe. Semua sayur mesti dicelur terlebih dahulu kerana inilah cara yang asli sejak dahulu lagi. Tidak ada sayur  mentah digunakan dalam resepi ini. Pecel berbeza dengan kerabu yang banyak menggunakan sayur mentah seperti ulam raja, pegaga dan lain-lain lagi.

Pecel biasanya disediakan sebagai lauk makan tengahari bersama gandingan ikan goreng atau jika mahu lauk berkuah boleh juga seperti masak lemak ikan, daging atau ayam. Kadang kala, pecel dihidangkan dalam kenduri kecil-kecilan seperti kenduri doa selamat, bertunang, yasinan dan tahlil. Pecel juga biasa dihidangkan sebagai lauk sewaktu rewang sebelum majlis kenduri perkahwinan. Rewang ialah aktiviti gotong-royong pada petang sehari sebelum majlis berlangsung. 

Sayuran diletakkan berasingan
 

Bumbu (rencah) pecel yang kering


Bumbu pecel ditambah air panas


Enak juga diratah seperti Add caption


Bahan Kuah Pecel:
Kacang tanah - 1 mangkuk 
Cili padi - 10 biji
Bawang merah - 4 biji
Bawang putih - 3 biji
Ikan bilis - 1 cawan
Kencur/ cekur - 1 ruas
Daun kencur/ cekur - 5 helai (hiris halus)
Garam - 1 sudu teh
Gula - 1 sudu makan
Minyak masak untuk menggoreng

- Goreng kacang tanah lalu toskan
- Goreng cili padi, bawang merah, bawang putih sehingga kekuningan dan wangi
- Goreng ikan bilis sehingga garing

Cara 1 (Pecel kering):
- Tumbuk/ kisar kering kacang, cili padi, bawang merah, bawang putih, kencur dan ikan bilis
- Tambahkan garam dan gula, gaul rata
- Masukkan hirisan daun kencur
- Cara ini dilakukan jika mahu menyimpan lebih lama pecel tersebut
- Jika mahu menghidang, barulah campurkan air panas
- Rasa dahulu masin dan manis secukupnya

Cara 2 (Pecel kuah):
- Kisar semua kacang, cili padi, bawang merah, bawang putih, kencur dan ikan bilis bersama air masak yang sejuk
- Tambahkan gula dan garam secukup rasa
- Gaulkan dengan hirisan daun kencur
- Cara yang ini lebih mudah, namun mesti terus dihidangkan

Bahan sayuran:
Kacang panjang - potong kecil
Pucuk ubi
Taugeh
Tempe - potong kecil kiub
Tauhu - potong kecil kiub

- Kacang panjang, taugeh dan pucuk ubi dicelur berasingan
- Tempe dan tauhu dipotong kecil, goreng sehingga keemasan

Cara menghidang:
- Gaulkan kuah bersama bahan sayuran, tempe dan tauhu

Tips:
- Campuran kacang tumbuk (pecel kering) boleh disimpan sehingga 2 hari 
- Campuran kacang tumbuk mesti dicampur air panas mendidih supaya tekstur kuah likat
- Sayuran yang dicelur, kemudian terus direndam sekejap dengan air sejuk, kemudian ditoskan
- Ini untuk mengelakkan sayuran berubah warna kecoklatan atau lebam
- Jika tiada kencur/cekur, abaikan
- Daun kencur boleh juga gantikan dengan hirisan daun limau purut.



Comments