KAMBING BAKAR BUJANG (PAN-GRILLED LAMB SHOULDER CHOPS)

KAMBING BAKAR BUJANG
(PAN-GRILLED LAMB SHOULDER CHOPS)


Kambing bakar bujang... tengoklah tu, ada kentang rebus dan sayur kobis je. Sangat mudah dan ringkas



Kambing bakar bujang nama diberi.... sebab mudah sangat dibuat menggunakan bahan-bahan yang ada di dapur. Oleh kerana sudah terlalu lama tak makan lamb chop, jadi hari ni terasa ingin makan pula. Bukan takde dijual di restoran berhampiran, memang ada, tapi kurang menepati citarasa kerana biasanya sos lada hitam kurang sedap ataupun daging agak liat. Lagipun jika masak sendiri, boleh makan sepuasnya dan lebih menjimatkan.

Berkobar-kobar untuk membeli daging kambing, namun bila ke pekan, kedai menjual daging dah tutup awal. Takpelah dalam hati terfikir, beli esok je. Sebelum balik, singgah ke kedai runcit, untuk membeli barang lain, tapi mungkin sudah tertulis rezeki, ada dijual shoulder lamb di sini... apa lagi, terus tapau. Hehe

Sebelum dimasak, lebih elok daging diperap sebentar supaya lebih meresap. Tapi jika tidak mempunyai banyak masa, 30 minit memerap sudah mencukupi. Bahan perapan yang digunakan dalam resepi ini juga tidak banyak, tapi boleh juga jika nak tambah  rosemarry, sos mustard atau thyme. Saya memang tak suka terlalu banyak bahan perapan kerana nanti nak dimakan dengan sos lada hitam. Biarlah daging tu tidak terlalu kuat rasa perapannya. 

Kadang-kadang lebihan daging bakar boleh disimpan untuk digunakan dalam masakan lain seperti masak lemak cili api dan nasi goreng kambing... Fuhh memang sodappp...

Bahan:
Lamb shoulder - sekilo (ada 7/8 keping)
Garam halus - 1 sudu teh
Lada hitam - 2 sudu makan - dikisar kasar
Bawang putih - 6 ulas - dikisar halus
Minyak masak

Cara:
- Lumur kambing dengan garam, bawang putih dan lada hitam
- Biarkan selama setengah jam
- Panaskan 2 sudu makan minyak
- Letakkan kepingan kambing di atas kuali
- Masak setiap bahagian dalam 2 minit menggunakan api sederhana
- Kemudian balik-balikkan daging setiap 2 minit
- Untuk memastikan daging telah masak, tiada lagi darah yang keluar dari daging

Bahan Sos Lada Hitam Cendawan:
- Lada hitam - 3 sudu makan
- Bawang besar - 1 biji
- Bawang putih - 5 ulas
- Tepung gandum - 2 sudu makan
- Kiub pati ayam - 1 ketul
- Cendawan tiram - 1 mangkuk kecil
- Kicap lemak manis - 3 sudu makan
- Garam - secukup rasa
- Gula - secukup rasa
- Minyak masak

Cara:
- Potong dadu bawang besar, cincang halus bawang putih
- Tumis bawang sehingga wangi
- Masukkan lada hitam, kacau sekejap
- Masukkan tepung gandum, masak sehingga kekuningan
- Masukkan 2 cawan air
- Masukkan kiub pati ayam
- Tambahkan kicap
- Masukkan cendawan
- Tambah garam jika perlu (kiub ayam sudah masin)
- Letak secubit gula, sos tidak boleh terlalu manis, cuma just nice je rasa manis tu dihujung lidah :)

Tips:
- Hidangan ini cukup untuk 3 orang
- Sesuaikan rasa sos, jika nak lebih pedas, tambah lada hitam
- Untuk sos lebih gelap boleh tambah lagi kicap
- Sos boleh juga ditambahkan daun bay atau sedikit sos tomato untuk lebih 'kick'
- Boleh dihidangkan dengan kentang rebus/ bakar dan coaslaw
- Masak kambing di atas kuali leper nonstick, lebih mudah memasak

Comments