AYAM SAMBAL NYONYA
Resepi ini dikongsi oleh Pengarah drama terkenal Micheal Ang di dalam IG nya beberapa hari yang lalu. Beliau memang suka memasak dan mempunyai rancangan masakannya sendiri di Saluran TV Astro. Beliau mengatakan lauk ini sangat sedap. Saya percaya kata-katanya itu kerana beliau memang seorang yang cerewet tentang bab makan. Saya memang tak pernah merasa dan memasak hidangan ini. Apa salahnya mencuba sesuatu yang baru. Hasilnya memang enak. Masakan Nyonya tak jauh beza dengan masakan melayu. Penggunaan buah keras dan belacan sinonim dengan masakan Nyonya. Buah keras melemakkan dan memekatkan lagi masakan, manakala belacan menerbitkan aroma yang tersendiri.
Bahan:
Ayam - 1 ekor - potong kecil
*Bawang merah - 10 biji
*Bawang besar - 2 biji saiz sederhana
*Bawang putih - 8 ulas
*Buah keras - 8 biji
*Cili kering - segenggam, dibuang biji dan direndam air sehingga lembut
* Serai - 6 batang - potong kecil- kecil
Belacan - seruas ibu jari
Santan - sebiji kelapa
Garam - 2 sudu teh
Gula - 2 sudu makan
Pes asam jawa - 1 sudu teh
Daun limau purut - 10 helai - koyakkan
Minyak masak - 1 mangkuk
Cara:
- Kisar semua bahan bertanda (*)
- Kemudian tumis bahan (*) dengan minyak masak seperti menumis sambal
- Tumis sehingga pecah minyak
- Tambahkan sedikit air, masukkan belacan. Biarkan pecah minyak lagi
- Masukkan ayam. Kacau sebati
- Masukkan santan, asam jawa, garam dan gula
- Renehkan sehingga pekat
- Masukkan daun limau purut
- Tekstur masakan menyerupai rendang yang agak basah
Tips:
- Masakan ini sedap dimakan dengan nasi, pulut atau roti
Comments
Post a Comment