BUBUR SOM SOM

BUBUR SOM SOM



Bubur som som (atau sum sum) ialah sejenis pemanis mulut yang biasa dihidangkan oleh mak saya sewaktu kecil dahulu. Bahan yang digunakan sangat ringkas, hanya tepung gandum, air dan sedikit garam yang dimakan dengan air gula merah. Sudah lama mak tak buat bubur som som, kadang-kadang teringin juga nak merasa air tangan mak. Tapi mak seperti dah tak kuasa nak buat lagi.. iyelah umur pun dah 71 tahun. Keinginan membuat kuih dah takde lagi. Bila dah dewasa ni, kita akan sering mengimbau kenangan semasa kanak-kanak. Salah satunya ialah teringat akan makanan yang disediakan oleh mak kita. Memori yang manis dan indah.

Pada zaman sekarang, media sosial menjadi satu pelengkap dalam kehidupan kita. Buka mata je melihat telefon, apabila sering melihat orang post resepi bubur som som di IG dan FB. Tetiba terasa nak makan pulak. Namun resepi yang dikongsi warga laman maya agak berbeza dari mak saya punya iaitu menggunakan tepung beras dan santan. Jadi saya memilih resepi yang agak mudah dibuat dan ringkas.

Bahan Adunan Tepung:
1 cawan tepung beras
1 cawan air pandan (kisar 3 helai daun pandan dengan air, kemudian tapis)
1 cawan santan pekat (½ cawan santan kotak + ½ cawan air)
2 cawan air
1 sudu makan tepung jagung
1 sudu teh garam (sudu KFC)

Cara:
- Campur semua sekali dalam periuk, kacau sebati (jangan hidupkan api)
- Panaskan dengan api sederhana
- Kacau selalu sehingga kental, likat dan licin berkilat
- Tuang ke dalam bekas 
- Sejukkan

Tips:
* Guna santan segar lebih sedap
* Jika tiada pandan, guna air biasa
* Jika tiada tepung jagung, abaikan
* Adunan di atas cukup untuk 3 orang makan

Bahan Air Gula Merah:
1 cawan gula perang
2 cawan air
Sehelai daun pandan - simpulkan
Secubit garam

Cara:
- Campur semua dan panaskan sehingga gula larut
- Sejukkan

Tips:
* Boleh tambah gula putih jika kurang manis
* Agak-agak kemanisan air gula mengikut citarasa
* Boleh ganti gula perang dengan gula merah, gula melaka atau nisan
* Lebih sedap jika dingin dalam peti ais

~ ~ Cara makan bubur som som ~ ~
- Cedok adunan tepung ke dalam mangkuk, curahkan sedikit air gula. 
- Nikmati dengan sudu. Nyamannn




Comments