MEMANDU KERETA KE KRABI DAN PHUKET

MEMANDU KERETA KE KRABI DAN PHUKET 

Pantai di Phuket, Thailand


Sekian lama memasang angan-angan untuk memandu (mengembara) melihat-lihat negara orang. Destinasi pertama yang terlintas di fikiran ialah Selatan Thailand. Saya membuka aplikasi peta (maps) sambil mencongak-congak jarak dan masa, lalu hati terdetik untuk ke Krabi dan Phuket. Agak jauh juga, memakan masa 15 jam sehala (1200km : Batu Pahat, Johor - Phuket) jika memandu kereta tanpa henti. Namun nasib baik ada rakan-rakan yang tinggal di kawasan Utara, adalah juga tempat persinggahan untuk melepaskan lelah dan penat.

Impian terlaksana apabila ada dua orang rakan lain (Faisal dan Adam) yang berminat untuk mengikuti pengembaraan (traveling) ini. Mereka berdua yang tinggal di Kedah, pernah memandu ke sana dan telah biasa dengan keadaan jalan di Thailand. Kata sepakat dibulatkan, maka kami setuju untuk menyempurnakan misi ini pada cuti sekolah selama seminggu pada 12 - 15 Ogos 2019.

9 Ogos 2019 (Jumaat)
Batu Pahat, Johor - Sungai Udang, Melaka
Bertolak ke Melaka. Singgah bermalam di rumah rakan (Ismail)

10 Ogos 2019 (Sabtu)
Melaka - Ipoh, Perak
Ismail juga bercuti selama seminggu pada kali ini, dan bercadang ingin pulang ke kampung halamannya di Perlis. Oleh kerana esok bermula cuti yang panjang (Raya Haji + cuti sekolah), kami merancang untuk bergerak ke Ipoh pada jam 6.00 petang untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas. Kami mengandaikan ramai yang pulang ke kampung dari ibu kota pada awal pagi. Namun sangkaan kami meleset, kenderaan memang banyak di lebuh raya terutama apabila melewati Kuala Lumpur. Perjalanan yang biasanya memakan masa 4 jam melarat sehingga 6 jam. Maka kami tiba di Ipoh pada jam 12.30 Pagi. Malam ni menginap di rumah Joe iaitu sahabat lama saya. 

11 Ogos 2019 (Ahad)
Ipoh, Perak - Kangar, Perlis
Hari Raya Aidil Adha!!. Hati agak sayu juga, sebab tak dapat beraya bersama keluarga, tapi sedikit terubat kerana ada kawan-kawan di sini. Pagi ini hanya beraya rumah keluarga Joe. Ahli keluarganya tiada di rumah kerana ada program korban di masjid berhampiran. Menikmati hidangan raya yang enak, nasi daging utara, lemang, ayam panggang, kuah kacang, rendang daging dan kek coklat. Semua telah terhidang di atas meja. Kami datang untuk makan dengan girang. Terima kasih makcik....

Hidangan Aidiladha - Lemang

Rendang daging

Ayam panggang

Air asam

Nasi daging utara


Selepas itu, kami (Saya, Joe, Ismail, Lan dan Zawawi) jalan-jalan sekitar bandar Ipoh. Tempat yang dituju ialah Concubine Lane iaitu pusat perniagaan jualan cenderahati, kedai kopi dan kedai makan khusus untuk menarik pelancong. Memang ramai pelancong luar terutamanya dari Singapura yang datang ke sini. Produk pelancongan yang bagus kerana berfokus kepada orang Cina. Lebih-lebih lagi ada penerbangan setiap hari dari Singapura-Ipoh, maka sektor pelancongan bertambah pesat. Idea bernas!

Ipoh

Sekitar Concubine Street

4.00Ptg - Saya, Lan dan Ismail memulakan perjalanan ke Kangar, Perlis. Sempat menyinggah ke Taman Tasik Taiping dan mengisi perut di sekita pekan Taiping. Seterusnya meluncur terus ke rumah kakak ipar Ismail di Perlis kerana ada majlis jamuan sempena raya korban. Selepas itu, bermalam di rumah Lan.

12 Ogos 2019 (Isnin)
Kangar - Jitra - Bukit Kayu Hitam - Sadao - Phattalung - Trang  - Krabi
Pada pukul 7.30 pagi saya bergerak ke Jitra, Kedah untuk mengambil Faisal dan Adam. Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mengisi borang kemasukan ke Thailand. Borang ini boleh diisi melalui agensi yang membuka kedai di sepanjang jalan di kawasan Changlun. Kita hanya perlu membayar sahaja (tak ingat, mungkin RM15++). Serahkan pasport dan geran kereta, nanti mereka akan isikan borang, siap sekejap je. Sebenarnya borang ni boleh diambil secara percuma di kaunter  imigresen Thailand, tetapi bagi mereka yang jarang-jarang ke sana, lebih baik  diuruskan oleh mereka yang mahir. Yelah, mengelakkan kesilapan semasa mengisi borang dan menjimatkan masa.


Kami!!


Buat pas masuk di Changlun, banyak kedai di tepi jalan




Seterusnya kami menuju ke Bukit Kayu Hitam. Kompleks Imigresen Malaysia yang baharu ini sangat besar dan selesa. Melepasi kaunter imigresen Malaysia amat mudah. Hanya perlu serahkan pasport sahaja. Proses berjalan dengan lancar dan cepat. Kelihatan lengang sahaja... mungkin masih awal pagi.  Ye ke? tungguuu lah di imigresen Thailand nanti...

Imigresen Malaysia, luas dan serba baharu... lengang

Selepas itu, kereta kami menuju ke imigresen Thailand...
Tu diaaaa... berderet kereta menunggu giliran ke kaunter. Penumpang kereta (Adam & Faisal) keluar untuk menguruskan proses imigresen di kaunter khas, manakala saya memandu kereta ke kaunter kereta. Setelah lebih kurang setengah jam, sampailah saya ke kaunter imigresen. Saya menyerahkan pasport, geran kereta dan borang yang telah diisi di Changlun tadi. Perlu bayar RM6 (jika tak silap). Pegawai bertugas akan menyerahkan satu borang iaitu perlu disimpan sehingga kembali ke Malaysia. Jika menghilangkan borang ini, akan didenda 1000 Bath sehari. Jadi, simpan elok-elok borang ini.


Imigresen Thailand



Selepas kaunter ini, parkir kereta untuk mengisi borang pengisytiharan memandu kereta di Thailand. Terdapat kaunter untuk mengisi borang ini. hanya perlu serah semua borang yang kita ada termasuk pasport. Percuma sahaja. Tak perlu bayar apa-apa. Baru lah rasa selamat memandu di negara orang. Borang ini perlu diserahkan semula ketika pulang ke Malaysia di kaunter yang ditetapkan. Jika tidak, kereta kita akan disenaraihitamkan.

Jalan raya di sini sangat baik dan tiada tol. Semasa pembinaan jalan, tapak jalan akan di simen tebal dahulu sebelum diturap tar. Oleh itu, jalannya rata dan tiada lekuk serta benjol. Setaraf lebuhraya di negara kita, malah mungkin lebih baik lagi.

Jalan raya yang elok dan cantik. Wayar letrik berselirat

Sadao

Setelah memasuki wilayah Sadao, kami berhenti makan di kedai pinggir jalan di pekan Danok.  Di sini, tiada masalah untuk mencari makan, kedai Muslim memang banyak. Terasa yakin bila penjualnya bertudung. Memilih ikan siakap masak kaeng som dan sayur lemak. Ringkas namun enak. Sesuai dengan tekak orang Melayu, masam manis pedas manis lemak semua ada. Perut kenyang lalu mencetuskan rasa gembira, kami meneruskan perjalanan melewati Hadyai dan Phattalung.

Kaeng Som Siakap dan sayur... sedap sangat2... makanan pertama di Thailand

Kami membeli simkad yang berharga TB150 untuk internet tanpa had selama sebulan. Ini yang seronoknya, internet memang laju berdesup. Namun jika mahu membuat panggilan, bolehlah tambah nilai. Simkad ini hanya boleh dibeli di kedai telefon yang banyak dipekan-pekan kecil yang dilalui. Minta tolong penjual tu set up kan di telefon kita. Beres!!

Perjalanan yang santai.... Jika dahaga dan lapar, singgah sahaja ke 7Eleven. Banyak pilihan makanan yang halal boleh didapati. Macam-macam makanan yang menarik dan tiada di Malaysia boleh dicuba seperti sosej, burger daging grill, jagung rebus dan minuman beraneka rasa yang semestinya lazat. Jika ada yang menarik perhatian, boleh singgah membeli buah, rojak dan kudapan di tepi jalan sahaja. Mesti perut kami tak berhenti berkerja... sentiasa diisi....kesian perutku... hehehe

Pilihan makanan di 7E... sosej dan burger jangan lupa dicuba... tengok dulu logo Halal..

Sedap burger ni... Murah

Teh Ais 7E... puas minum ni

Pilih... pilih..

Salak... manis leting

Kedai makan di Trang... memang sedap ni... Orang Melayu Thailand

Gulai ikan... ulam tu free je... tuan kedai beri

Dalam perjalanan, kami berhenti di Trang Andaman Gateway iaitu kawasan seperti RnR yang terletak di antara Trang dan Phattalung. Kawasan ini telah dibina tugu dan patung gajah serta haiwan lain. Kawasan ini telah digazetkan sebagai tapak bersejarah dimana kerajaan Siam telah membina jalan darat menghubungkan pantai barat dan timur merentasi hutan dan bukit. Jalan ini diratakan menggunakan bantuan gajah 100 tahun lalu.


Trang Andaman Gateway

Gajah meratakan tanah dan membantu membina jalan merentas Timur dan Barat Segenting Kra


Ramai orang singgah... ada kedai dan tandas juga


Contohi Thailand... Setiap warisan sejarah menjadi produk pelancongan


Krabi
Akhirnya kami tiba di Krabi pada jam 6.00 Petang. Kami terus mendaftar masuk ke tempat penginapan di Aonang Guest House. Chalet yang mempunyai 2 katil Queen dan 1 bilik air ini selesa dan memuaskan. Hanya kami sahaja yang menginap di chalet pada malam ini. Tempat ni sunyi dan di kelilingi pokok-pokok besar. Ada banyak nyamuk pada waktu maghrib, namun menghilang bila semakin lewat malam. Oleh itu, lebih baik menutup pintu dan tingkap. Ada banyak bunyi riang-riang sepanjang malam. Lokasi chalet ini hanya 10 minit berjalan kaki ke pantai Aonang.

Sepanjang pantai Aonang menjadi lokasi tumpuan pelancong. Di sini terletaknya banyak kedai-kedai dan hotel. Memang meriah. Kami hanya jalan-jalan sekitar pantai pada malam ini dan makan malam di food court. Lepas tu kami lena beradu.

Chalet kami... Sunyi dan damai... Sekarang bukan waktu puncak kehadiran pelancong

Katil Queen.. bersih dan selesa

Pasar malam Aonang

Aonang

Banyak pilihan... kami makan Pad Thai


13 Ogos 2019 (Selasa)
Krabi-Phuket
Pada 9.00 Pg, kami mula bergerak menuju ke Bandar Krabi. Kami meronda dan pusing-pusing mencuci mata di bandar ini. Nasib kami tidak baik kerana telah disaman oleh polis trafik. Kesalahannya ialah meletak kereta di tepi jalan yang bertanda merah, walaupun sebentar sahaja. Kami puji kecekapan polis Thai, sangat efisien dan bertindak pantas. Kami membayar TB500 di balai polis trafik kecil yang berhampiran. Memang menjadi pengalaman berharga, selepas tu kami trauma melihat garisan merah di tepi jalan... takut nak parkir situ lagi....hahaha..

Orkid harimau

Orkid di mana-mana... memang banyak orkid di tanam di tepi jalan dan stesyen minyak

Nasi goreng... macam kat kedai tomyam Malaysia je

Ulam... terung tu rangup.. manis2

Kedai makan muslim

Taman laut... terdapat fosil kerang... Krabi

Fosil kerang

Fosil kerang di tempatkan dalam muzium mini

Papan tanda tsunami

Papan tanda penerangan pelancong

Pemain muzik tua... warisan orang Melayu Kedahan Thai... Seperti Makyung/ Dondang Sayang

Bandar Krabi

Di sini kami di saman polis trafik.... kenangan


Kami meneruskan perjalanan ke Phuket. Perjalanan memakan masa lebih kurang 2 Jam 40 minit. Kami singgah ke Ao Phang Nga National Park sebentar. Kawasan ini terdapat hutan paya bakau dengan pemandangan pulau batu kapur yang indah. Sebenarnya tempat ini berada dalam satu teluk yang sama dengan Krabi dan Phuket.

Ao Phang Nga National Park

Muara sungai... banyak pokok bakau

Phuket
4.00 Ptg - Kami tiba di Hotel Bauman Residence, Phuket. Tempat penginapan kami sangat selesa dan damai. Terdapat kolam renang besar, lalu kami menyejukkan badan dengan berendam sampai puas. Lokasi ini amat dekat dengan pusat tumpuan pelancong iaitu Pantai Patong.


Hotel Bauman Residence, Phuket

Pada pukul 6.30 Ptg, kami menuju ke Promphet Cape untuk menyaksikan matahari terbenam. Tempat ini berada di hujung selatan Pulau Phuket, di mana ramai pelancomg telah bersiap sedia untuk menyaksikan fenomena ini. Dalam hati, sama je matahari ni kat mana-mana... ishh... mana sama! ni kat Phuket,... ehhh... Pemandangan di sekitar tempat ni memang cantik. Terdapat Kuil Siam dan dataran yang luas. Namun kami sedikit keciwa kerana matahari berlindung di balik awan. Tidak ada rezeki melihat matahari terbenam di sini...

Ramai pelancong... Promphet Cape, Phuket



Matahari malu... sembunyi di balik awan

Walau tak nampak sunset... tapi kami seceria sunrise


Kuil Siam di Promphet Cape, Phuket

Selepas itu, kami menuju semula ke Pantai Patong untuk makan malam di Phuket Beach Market. Kawasan ini betul-betul di tepi jalan di pantai. Perlu berhati-hati kerana kereta dan motor lalu lalang di sini.  Kebanyakan penjual di sini ialah orang Muslim. Ada juga yang boleh berbahasa Melayu sikit-sikit. Pesan makanan dan air, kemudian boleh pilih tempat duduk di meja yang disediakan atau duduk bersila di atas tikar.  Kami Makan sotong kurita bakar, ikan tenggiri bakar, pulut mangga dan laksa siam. Boleh tahan juga rasa masakan di sini. Harga pun murah sahaja.

Pantai Aonang

Phuket Beach Market... Banyak Muslim berniaga makanan 

Pulut mangga

Tenggiri bakar

Sotong kurita bakar



Laksa Siam


Kami balik ke Hotel untuk berehat sebentar. Kemudian pada lewat malam pula, kami jalan-jalan sekitar Bangla Road yang terkenal di Phuket. Deretan disko dan pub, kedai makan dan kedai barangan cenderahati ada di sini. Memang meriah. Kami hanya jalan-jalan di sini sambil menyaksikan gelagat manusia melayari nikmat dunia. Setelah penat berjalan, masuk ke 7E untuk menyejukkan  badan dengan aircond dan minum teh ais yang lazat.

14 Ogos 2019 (Rabu)
Pagi yang santai, kami ambil peluang berjalan-jalan di pantai Patong. Ombak agak kuat di sini berbanding di Krabi. Menyesal pula sebab tak mandi pantai di Krabi. Lokasi Krabi yang terlindung di balik pulau-pulau dan teluk menjadikan airnya lebih tenang.

11.00 Pg, kami meneruskan aktiviti santai santai relaks relaks, ke Akuarium Phuket  untuk melihat-lihat sahaja. Tempat ini amat sesuai untuk kunjungan anak-anak kerana banyak info berkenaan hidupan laut dapat diperoleh. Selepas itu, kami mengisi perut makan tengahari di sekitar sini sahaja. Menjadi satu sejarah dalam hidup saya kerana makan lauk yang terlalu pedas dalam dunia. Ikan masak cili padi. Fuhh, kami tak mampu nak habiskan. 2 gelas air sejuk pun tak mampu menghilangkan kepanasan. Bibir menebal dan merah. Tak tahan. Tapi kami tergelak je. Seronok sebab makcik yang menjual tu sangat ramah.

Akuarium Phuket







Singgah makan ....Nasi dan lauk pauk... Ikan sambal tu paling pedas dalam dunia!!

Gulai daging rebung... ni sedap... tapi pedas juga...


Sepanjang hari ni, kami hanya berehat di hotel sahaja. Kami mengulangi aktiviti semalam iaitu makan malam di tepi pantai dan jalan-jalan di Bangla Road untuk membeli cenderahati. Kami juga memandu mengelilingi Pulau Phuket melewati Kameela Beach, terus terkenang keturunan ke-7 Mahsuri iaitu Aishah yang tinggal di sini. Menurut ceritanya, selepas Mahsuri mati dibunuh di Langkawi, suami dan anaknya berhijrah ke sini. Peristiwa sejarah Kedah yang  penuh duka. Satu masa dulu negeri Kedah amat luas menjangkau ke Bukit (Phuket).

15 Ogos 2019 (Khamis)
Phuket-Malaysia
8.30 Pg, kami sudah bersiap untuk pulang ke Malaysia. Bersarapan dulu dengan nasi ayam Thai. Sedap sungguhlah. Orang Pattani yang menjual makanan ni di kedai makan tepi jalan.

Pilih nak mana satu? 

Nasi ayam Thai

Kedai tepi jalan... Phuket

Kami bergilir-gilir memandu. Tapi Adam yang paling lama memandu sebab dia suka perjalanan jauh. Kami singgah ke Lampam Beach, Phattalung. Ia merupakan tasik air tawar yang sangat luas. Mungkin di sini banyak ikan lampam sempena namanya.



Bukan laut... tapi tasik air tawar

Saujana mata memandang




Kami tiba di Sadao menjelang senja. Kami mengisi perut dengan Daging bakar danok, pulut ayam, tomyam dan air kelapa. Kemudian kami menuju ke imigresen Bukit Kayu Hitam untuk kembali ke Malaysia. Penat namun puas hati.

Daging bakar danok

Pulut ayam

Kelapa pandan... produk utama selatan Thailand... ada ladang sangat luas di sini

Comments