LEPAT LIAT BUNGA CHICHA

LEPAT LIAT BUNGA CHICHA


Lepat Liat Bunga Chicha

Adunan kuih lepat liat

Kelapa parut + secubit garam

Letakkan 2 sudu adunan dan kelapa parut, di dalam daun pisang yang telah disapu minyak

Kukus kuih lepat selama 40 minit

Makan menggunakan sudu.. yummmmm

BAHAN:
Bunga chicha segar - 2 genggam
Santan - 2 cawan
Gula pasir - 300 gm
Tepung pulut - 500 gm
Garam - 1 sudu teh
Kelapa parut - 1 mangkuk (+ secubit garam)
Minyak masak - untuk disapu dalam daun pisang

Cara:
1. Kisar bunga, santan dan gula hingga sebati
2. Campurkan bahan kisar dengan tepung dan garam, gaul sebati
3. Masukkan 2 sudu makan adunan kuih ke dalam daun pisang yang telah disapu minyak
4. Letakkan sesudu kelapa parut di tengah adunan
5. Bungkus daun pisang seperti lepat
6. Kukus selama 40 minit
7. Sejukkan sebelum makan.

TIPS:
* Saya guna cawan kopi
* Pastikan daun pisang telah dilayurkan atas api, supaya lembut dan tidak koyak
* Bunga chicha boleh dikeringkan untuk digunakan pada masa akan datang
* Jika menggunakan bunga kering, guna 1 genggam bunga sahaja
* Adunan kuih seperti adunan lepat pisang atau ubi. Lembut dan mudah dikaup dengan sudu. Ini untuk memastikan kuih tidak menjadi keras apabila dikukus
* Tambahkan sukatan air/santan jika menggunakan bunga kering sehingga mendapat adunan yang lembut
* Boleh gantikan bunga chicha dengan  2 cawan gula merah (kurangkan 1 cawan gula)

Musim bunga chicha akan muncul sekitar bulan Mac setiap tahun. Pokok chicha tumbuh semulajadi di hutan-hutan di Semenanjung Malaysia, Thailand, Burma dan Indo-China. Saya mendapatkan bunga ini di dalam hutan Simpan Bukit Soga, Batu Pahat, Johor. Bunganya lembut, berwarna merah jambu cair dan berbau seperti mawar. Fungsinya sebagai pewarna coklat kepada kuih lepat liat dan sebagai perasa yang unik. Jika kenal pokok dan bunga chicha, pasti dapat mengetahuinya melalui  taburan bunga-bunga yang gugur di bawah pokok. Bunganya seakan tekoma iaitu sejenis pokok hiasan lanskap di tepi jalan. Kaedah mengenal bunga chicha ialah bentuk seperti trumpet dan rambu ramba di hujung kelopaknya.

Saya membaca tentang bunga chicha dan kuih lepat liat daripada post rakan-rakan di Facebook dan juga ada ditulis di dalam suratkhabar. Kuih ini adalah makanan tradisi orang Kedah terutama di daerah Baling di mana pokok ini mudah didapati.

Boleh baca posting saya yang lama di sini: http://batupahatlife.blogspot.com/2018/03/talam-pulut-bunga-chicha.html
Bunga chicha - berambu ramba kelopaknya
Kelongsong biji chicha - bentuk seperti ular, sebab itulah pokok ini dipanggil snake tree

Buah chicha bergayutan seperti ular

Bertaburan bunga di atas rumput

Basuh dulu sebelum masak


Comments