ORKID HUTAN SELANGOR

ORKID HUTAN SELANGOR

14 Oktober 2018 (Ahad)

Orkid hutan ni ditemui di salah satu hutan rekreasi di negeri Selangor. Sekali pandang tidak perasan orkid ini melekat di batang kayu berdekatan dengan sungai, namun setelah diamati, amat banyak merambat dengan subur. Beberapa spesies orkid melekat pada satu dahan pokok kayu, menggambarkan habitatnya sangat sesuai iaitu keadaan redup dan lembab.

Saya hanya mengambil sedikit rumpun orkid yang tercapai tangan sahaja kerana kebanyakannya melekat agak tinggi di batang pokok. Cukup untuk dibuat koleksi peribadi sahaja. Diharapkan orkid hutan ini membiak dengan lebih meriah ditempat asalnya.

Coelogyne pandurata

Coelogyne pandurata
Coelogyne pandurata
Bunga Coelogyne pandurata  (https://travaldo.blogspot.com/2018/03/coelogyne-pandurata-care-and-culture.html)




Familia: Orchidaceae
Subfamilia: Epidendroideae
Tribus: Arethuseae
Subtribus: Coelogyninae
Genus: Coelogyne

Spesies: Coelogyne pandurata, Lindley 1853
Sinonim: Coelogyne peltastes var. unguiculata J.J.Sm. 1927; Pleione pandurata (Lindl.) Kuntze 1891

Nama Inggeris: The Lute-Shaped Coelogyne

Saiz bunga:  lebih 3" (lebih dari 7.5 cm)

Dijumpai di Semenanjung Malaysia, Sumatra, Borneo dan Filipina. Orkid bersaiz besar yang hidup secara epifit (menumpang) di batang pokok besar berdekatan sungai atau kadangkala terrestrial (di atas tanah). Tumbuh secara berkelompok. Setiap pseudobulb (ubi) yang berbentuk oblong mempunyai 2 helai daun yang lonjong panjang. Bunga yang berwarna kehijauan akan keluar pada lewat musim panas sebanyak 15 kuntum dengan aroma seakan madu, namun jangka hayat bunga tidak lama. 


Saya menanam orkid ini di dalam pasu dengan medium arang dan sedikit sabut kelapa. Tetapi saya cuma mahu membuat pemerhatian sahaja, adakah medium ini sesuai atau tidak. Mungkin dalam jangka masa panjang perlu ditukar medium kepada serpihan kayu dan lumut. Keadaan sesuai untuk orkid ini ialah lembab dan redup. Waktu yang paling sesuai untuk pemasuan semula orkid ialah semasa pucuk baru mula bertunas.


Agrostophyllum bicuspidatum




Agrostophyllum bicuspidatum

Agrostophyllum bicuspidatum ( http://www.orchidspecies.com/orphotdir/stipu132.jpg)
Familia: Orchidaceae
Subfamilia: Epidendroideae
Tribus: Vandeae
Subtribus: Agrostophyllinae
Genus: Agrostophyllum
Species: Agrostophyllum stipulatum
Subspecies: Agrostophyllum stipulatum subsp. bicuspidatum

Spesies               :  Agrostophyllum bicuspidatum J.J.Sm. 1903
Sinonim              :  Agrostophyllum stipulatum (Griff.) Schltr. 1912
Nama Inggeris    : The Straw-Like Agrostophyllum

Habitat: Hidup secara epifit (menumpang dipokok lain) dan tumbuh simpodial (menegak ke atas). Memiliki rizom dan hidup berkelompok. Panjang batang hingga >50 cm. Daun tidak terlalu sukulen, bulat memanjang, ujung berbelah jelas (bilobed), pangkal daun berlekuk dan memeluk batang, panjang daun 1.5-2.0 cm x 6-10 mm, saling berselang seli, batang  bahagian pangkal yang sudah tua jarang ditumbuhi daun. Bunga tunggal, muncul di hujung batang (terminalis), satu-dua bunga muncul dalam satu batang, bunga kuning pucat, sepal lateral (kelopak samping)  berbentuk lanset seperti kebanyakan genus Malaxis, petal (mahkota) lateral dan dorsal berbentuk bulat memanjang dan lebih lebar dari sepal, labellum (bibir) berbentuk bulat dengan 3 juring (trilobed).

Terdapat 2 subspesies  berbeza bagi Agrostophyllum stipulatum. Iaitu:

  • Agrostophyllum stipulatum (Indo-China, Malaysia ke Kepualuan Solomon)
    • Agrostophyllum stipulatum subsp. bicuspidatum (Malaysia Barat)
    • Agrostophyllum stipulatum subsp. stipulatum (Indo-China, Malaysia ke Kepulauan Solomon)

Melalui pemerhatian saya, orkid ini melekat pada batang kayu yang diselaputi lumut berdekatan sungai yang mempunyai jeram. Keadaan redup dan lembab sangat sesuai untuk pertumbuhan orkid ini. Medium yang saya guna ialah arang dan sedikit sabut kelapa.

Rujukan: 
https://catatannyalala.wordpress.com/2017/06/25/agrostophyllum-bicuspidatum/

http://www.orchidspecies.com/sgrostipulatum.htm 

Spesies orkid yang tidak dikenali. Kena tunggu matang dan berbunga



Comments