CEMPEDAK, BETON DAN MANDAI

CEMPEDAK, BETON DAN MANDAI
 
Cempedak di kampung
Lihatlah buah yang lebat ini!!


CEMPEDAK
Tahun ni musim buah-buahan memang menjadi. Syukur kepada Allah kerana mengurniakan rezeki yang melimpah ruah. Selepas musim durian yang tiba pada Hari Raya Aidilfitri lalu (Pertengahan Jun 2018), tiba pula musim rambutan, pulasan, cempedak dan seterusnya duku, langsat serta dokong. Itu belum lagi buah-buahan tidak bermusim yang sentiasa ada sepanjang tahun seperti pisang, jambu batu dan mangga. Bolehlah rakyat Malaysia menikmati hasil lambakan ini dengan gembira kerana musim buah yang melimpah ruah seperti ini hanya datang beberapa tahun sekali.

Kebiasaannya, musim buah di Malaysia muncul pada Jun-Ogos, tapi pada tahun sebelumnya, tidak banyak seperti ini. Penjual durian/ buah muncul di mana-mana sahaja di sepanjang jalan untuk meraih rezeki halal. Harga durian kampung turun sehingga mencecah RM3 sekilo mengikut gred, berbanding musim sebelumnya RM12 sekilo. Durian kahwin atau klon seperti Musang King, Udang Merah dan IOI, juga turun harga tetapi tidak serendah durian kampung.

Kemudian, pada Julai pula, musim cempedak menjenguk diri. Pokok di kampung berbuah dengan sangat lebat kali ini. Dari bahagian bawah sehinggalah ke pucuk pokok. Sebahagian buah menjadi habuan tupai dan monyet. Tidak mampu untuk menghalau monyet sepanjang masa, kalau lari pun, sekejap je monyet akan datang semula. Jadi, kami pasrah je. Namun, walaupun berkongsi rezeki dengan haiwan, banyak juga buah yang dapat kami petik sehingga matang. Perlu dipetik awal kerana monyet akan datang menjenguk sama ada waktu pagi atau petang. Jika dibiarkan masak di atas pokok, alamatnya kami tidak dapat merasa.

Isi kuning dan tebal

BETON
Beton (bahasa Jawa) ialah biji cempedak/ nangka. Amat enak direbus, seperti merebus ubi, hanya perlu ditambah sedikit garam. Rasa beton rebus seperti biji berangan.

MANDAI
Mandai ialah kulit cempedak peram. Kulit luar yang berwarna hijau dikupas, kemudian direndam dalam air garam selama seminggu atau lebih. Resepi diperoleh dari kakak ipar yang berasal dari Selangor. Kakak ipar pula mendapat resepi dari adik iparnya yang berketurunan Banjar. Ini memang makanan tradisi orang Banjar. Keluarga saya baru diperkenalkan makanan ini, dan kami semua menyukainya. Mandai digoreng bersama bawang, cili dan bilis. Sesuai dimakan dengan nasi panas dan ikan goreng.

Cara membuat mandai:
Kulit cempedak - 1 biji
Air - secukupnya
Garam - secukupnya

- Kulit cempedak dikupas kulit hijau. Tinggalkan bahagian putih. 
- Potong kecil, kemudian masukkan ke dalam botol plastik/ kaca.  
- Air dicampur garam. Pastikan secukup rasa, masin seperti air laut
- Jangan terlalu masin, nanti mandai tak sedap
- Tuang air garam ke dalam botol sehingga semua kulit cempedak tenggelam.
- Tutup botol, biarkan selama 3 hari atau lebih (lebih sedap 2 minggu)
- Mandai akan rasa sedikit masin dan masam akibat berlaku penapaian.  

    
  

Comments