AYAM MASAK MERAH LEK SAIM




AYAM MASAK MERAH LEK SAIM

Lek Saim ialah tukang masak kenduri yang terkenal di kampung saya (Parit Mustaffa, Parit Sulong, Batu Pahat, Johor). Lek dalam Bahasa Jawa maksudnya ialah pakcik/makcik, iaitu panggilan bagi orang yang lebih tua, sama seperti uncle/auntie. Nama sebenarnya ialah Encik Kassim. Beliau memang tukang masak kenduri yang menjadi rebutan di kampung saya. Masakannya memang sangat sedap terutamanya ayam masak merah, nasi minyak, kari dalca dan briyani daging. Beliau akan mengetuai aktiviti memasak (rewang) dengan dibantu oleh orang kampung, sehari sebelum sesuatu majlis berlangsung. Tetamu yang merasa air tangan Lek Saim pasti mengakui kelazatannya. Saya mendapatkan resepi ini daripada beliau sendiri semasa majlis kenduri kesyukuran mengerjakan haji mak dan bapak pada Ogos 2017.

Encik Kassim (Lek Saim)

Seperiuk besar- ayam masak merah

Tudung periuk... Tudung periuk pandai menari...

Nasi minyak, kambing masak briyani, ayam masak merah dan acar - tipikal kenduri Johor


Bahan-Bahan:
Ayam - seekor ~ potong 12, perap dengan serbuk kunyit + garam (1 jam)
Cili kering kisar - 1 1/2 cawan
Bawang merah kecil - 10 biji ~ hiris
Bawang putih - 10 ulas ~ hiris
Serai - 2 ~ kisar halus
Tomato - 1 ~ kisar halus
Bawang besar - 2 ~ hiris bulat (seperti onion ring)
Rempah tumis - buah pelaga, kayu manis, bunga lawang
Gula batu/gula pasir - 2 sudu besar
Serbuk cili - 1 sudu besar
Sos tomato  - 5 sudu besar
Daun pandan - 2 helai
Santan - semangkuk
Sunquick oren - 2 sudu besar
Bawang goreng peket / atau boleh buat sendiri - 1/2 cawan
Minyak masak
Garam


Cara:
1. Goreng ayam (jangan terlalu garing) ~ ketepikan
2. Goreng bawang + bawang putih  dengan minyak gorengan ayam tadi, sehingga perang dan kelihatan rangup (seperti membuat bawang goreng). Masukkan rempah tumis. Kemudian masukkan daun pandan.
3. Masukkan cili kisar. Tumis sehingga pecah minyak dan wangi.
4. Masukkan tomato + serai. Tumis sehingga pecah minyak dan wangi.
5. Masukkan gula, sos tomato, sunquick dan santan. Masak sehingga agak pekat. Masukkan serbuk cili, untuk menambah warna. Masukkan bawang goreng.
6. Pastikan cukup rasa masin, manis dan masam, barulah dimasukkan ayam goreng.
7. Reneh sebentar, masukkan bawang besar, gaul rata. Tutup api.
8. Enak dimakan bersama nasi minyak yang ringkas.

Comments