KELI MASAK LEMAK CEKUR (LELE LEMAK KENCUR) / PECEL LELE



Salah satu masakan Orang Jawa ialah masak lemak cekur (kencur dalam Bahasa Jawa). Sama ada menggunakan ikan, daging atau ayam, rasanya amat lazat dan menyelerakan. Resepi sama sahaja dengan masak lemak biasa, cuma penambahan cekur tu yang menyebabkan aroma masakan ini makin menyerlah. Saya memang sudah biasa dengan masakan yang mengandungi cekur ni. Memang dari dulu, cekur ni ditanam di belakang rumah di kampung sebagai herba yang utama untuk pelbagai hidangan seperti masak lemak dan kerabu. 

Ikan keli atau lele sangat sesuai dimasak dengan cara ini kerana rasa lemak ikan tu sangat serasi dengan masakan ni. Ada juga sesetengah orang yang panggil pecel lele, tapi tak kisah lah, sebab masakan yang sama je, panggilan je berbeza. Masakan ini digandingkan dengan sambal tutuk, masak lemak pucuk ubi dan ulam raja.

Resepi:

Bahan A
6 ekor Ikan keli
Serbuk kunyit
Garam

Bahan B
4 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
8 biji cili padi
2 cm kunyit
3 cm cekur
1 asam keping

Bahan C
2 cawan santan
Garam
5 helai daun cekur

1. Bahan A:
Ikan keli dilumur garam dan serbuk kunyit lalu digoreng sehingga garing, boleh juga di panggang sehingga masak
2.  Bahan B:
Tumbuk/ kisar bahan B kecuali asam keping sehingga lumat
3. Tumis bahan B sehingga naik bau
4. Masukkan santan dan asam keping, masak dengan api kecil sehingga mendidih, kacau selalu untuk mengelakkan santan pecah
5. Masukkan ikan keli, kacau sebati
6. Tambahkan garam secukup rasa dan daun cekur yang dicarik-carik.






Comments